mutakhir

Ramai `buru' daging teduh dan batang pinang

Oleh Hassan Omar

DAGING teduh dan batang pinang lembu atau kerbau menjadi rebutan kebanyakan pelanggan yang mahu memasaknya untuk juadah Aidilfitri ini.

Meskipun harganya lebih tinggi berbanding daging biasa, orang ramai tidak mahu melepaskan peluang memiliki daging berkenaan berikutan rasanya yang lebih enak selain amat lembut berbanding daging biasa.

Pelanggan, Daud Md Isa, 63, berkata, setiap kali menjelang Aidilfitri, dia tidak akan melepaskan peluang mendapatkan kedua-dua daging berkenaan kerana ia amat lembut dan sesuai untuk golongan warga emas yang tidak mempunyai kekuatan untuk mengunyah daging kenyal.

"Daging teduh dan batang pinang adalah daging di bahagian paha sebelah dalam lembu atau kerbau. Lazimnya ia lebih lembut berbanding daging biasa.

"Selain sesuai untuk dibuat rendang, ia juga sesuai untuk dimasak kicap dan paling sesuai untuk warga emas dan kanak-kanak kerana ia lembut dan sedap berbanding daging bahagian yang lain," katanya ketika ditemui membeli daging di Kampung Londang, Masjid Tanah, Melaka.

Sementara itu, Sulaiman Abdul Karim, 68, berkata, dia mula mencari peniaga yang menjual daging di tepi Jalan Pengkalan Balak-Tanjung Bidara, Masjid Tanah seawal jam 7 pagi bagi memastikan memperolehi daging pinang dihajati.

Katanya, kelembutan dan keenakan daging teduh dan batang pinang lembu atau kerbau tidak mampu ditandingi daging di bahagian lain kedua-dua haiwan itu dan ia menjadi pilihannya sekeluarga setiap kali menjelang Aidilfitri.

"Walaupun saya diberikan daging rusa sekali pun, saya tetap memilih daging teduh atau batang pinang lembu atau kerbau kerana ia lebih sedap berbanding daging rusa," katanya.

Peniaga daging, Mohd Fazar Abdul Samad, 42, berkata, dia menawarkan daging teduh dan batang pinang pada harga RM36 sekilogram berbanding daging biasa RM34 sekilogram.

"Daging teduh dan batang pinang tidak banyak, sudah tentu ia menjadi rebutan pelanggan yang gemar akan daging lembut dan enak berbanding daging biasa.

"Tidak sampai setengah jam, kedua-dua jenis daging itu selesai dijual kepada mereka yang ingin menikmati daging segar, lembut dan enak," katanya di lokasi menjual daging di Kampung Londang.

Disiarkan pada: May 22, 2020 @ 4:19pm
d