mutakhir

'Persiapan Aidilfitri kami seadanya' - Isteri Pak Ishak

Oleh Noorazura Abdul Rahman

"TIADA persiapan istimewa dibuat, baju raya pun kami tak beli, sebaliknya anak hanya mampu sediakan kasut baharu untuk enam cucu sahaja," kata Jamaliah Rejab, 54.

Ibu kepada 10 anak itu, berkata dia banyak bergantung kepada anak ke-6, Siti Nor Saadiahton Ishak, 25, yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai kasut di Alor Setar.

Katanya, Siti banyak membeli barang keperluan dan menyediakan sedikit kuih-muih untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Ada jiran yang hantar beras pulut, dapatlah saya sediakan ketupat untuk hari raya, kuih-muih pula Siti sudah beli dua tiga jenis, ia sudah memadai.

"Saya cuma kesian melihat cucu-cucu apabila setiap hari mereka bertanyakan baju raya.

"Selalunya ada orang datang hadiahkan baju raya untuk mereka, tapi tahun ini tak ada pula, mungkin mereka tidak tahu alamat baru kami," katanya yang kini tinggal di Taman Uda, Lorong Fajar, Jalan Sultanah, Alor Setar.

Jamaliah adalah isteri kepada Ishak Darus, 77, atau dikenali sebagai Pak Ishak yang sebelum ini tinggal di sebuah rumah daif di Lorong Gedebang, Jalan Langgar, Alor Setar sejak sekian lama.

Bagaimanapun, mereka berjaya dipujuk pendakwah, Ustaz Ebit Lew untuk berpindah ke kediaman baharu yang lebih selesa pada 20 April lalu.

Pak Ishak lumpuh akibat angin ahmar, manakala Jamaliah pula mengidap penyakit kencing manis.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman memaklumkan usaha memujuk Pak Ishak sudah dilakukan sejak 12 tahun lalu, namun keluarga itu enggan berpindah.

Jamaliah berkata, walaupun luka di kakinya belum sembuh, namun dia tetap menggagahkan diri untuk menyediakan makanan buat cucu-cucunya yang masih kecil sepanjang Ramadan.

Katanya, ramai jiran menghulurkan juadah untuk berbuka puasa selain ada membantu mengambil makanan disediakan oleh pihak masjid.

"Cuma bagi saya Ramadan dan Aidilfitri, tahun ini kami lebih gembira kerana dapat sambut di rumah sewa lebih selesa.

"Ia sememangnya jauh berbeza dengan kehidupan daif kami sebelum ini apabila keadaan rumah tidak terurus dan kotor," katanya.

Disiarkan pada: May 22, 2020 @ 4:24pm
d