mutakhir

Santan tak cukup...boleh ke masak rendang ?

Oleh Hassan Omar

KETIADAAN kelapa import dari Indonesia menjelang Aidilfitri kali ini menyebabkan kebanyakan peniaga santan bingung berikutan kesukaran mendapatkan bekalan kelapa tempatan.

Rata-rata peniaga terbabit mengeluh kerana terpaksa bersaing sesama mereka bagi memastikan bekalan kelapa mencukupi untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Mohd Hafiz Abdul Manaf, 24, berkata, dia menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan kelapa menjelang Aidilfitri tahun ini berikutan beberapa ejen yang menguruskan pembelian kelapa dari republik berkenaan, tidak lagi beroperasi.

"Sebelum ini saya membeli kelapa melalui beberapa ejen tetapi tahun ini, kebanyakan mereka sudah menghentikan operasi kerana mendakwa ada banyak halangan untuk membawa kelapa dari Indonesia berpunca Covid-19.

"Saya sendiri tidak tahu macam mana untuk mendapatkan ejen lain, jadi saya terpaksa bergantung harapan kepada pembekal tempatan yang ternyata tidak dapat memenuhi permintaan saya dan peniaga santan lain," katanya ketika ditemui di kedai santannya di Kampung Solok Duku, Masdjid Tanah di sini.

Beliau menjelaskan, lazimnya sebanyak 1,200 kelapa diperlukan untuk diproses menjadi santan sepanjang dua hari sebelum Aidilfitri.

Bagaimanapun, akibat kekurangan bekalan kelapa, dia hanya mempunyai stok 500 kelapa untuk diproses menyebabkan ramai pelanggan pulang kecewa.

Sehubungan itu, beliau terpaksa menjelajah ke beberapa kampung lain seperti Tanjung Bidara, Kuala Sungai Baru, Kuala Linggi, Lubok Cina dan Brisu semata-mata untuk mendapatkan bekalan kelapa.

Katanya, beliau terpaksa membayar RM1.60 untuk sebiji kelapa meskipun bersaiz kecil berikutan kekurangan bekalan.

Untuk tujuan itu, dia menawarkan santan pada harga RM11 sekilogram dan kebanyakan kelapa sedia ada sudah dikhaskan untuk mereka yang membuat tempahan awal untuk mendapatkan santan yang amat bernilai menjelang Aidilfitri, katanya.

"Setiap kali menjelang Aidilfitri, kelapa dan santan seolah-olah emas yang menjadi rebutan ramai dan siapa cepat, dia dapat," katanya.

Sulaiman Abdul Majid, 57, yang menjalankan perniagaan santan di Kampung Jeram, Masjid Tanah berkata, beliau terpaksa memandu ke Batu Pahat dan Muar, Johor semata-mata untuk mendapatkan bekalan kelapa sejak dua minggu lalu.

Bagaimanapun, usaha berkenaan hanya membolehkan beliau mengumpulkan kira-kira 1,400 kelapa berbanding keperluan 2,000 kelapa seperti Aidilfitri tahun lalu, katanya.

Pix 1-5: Mohd Hafiz Abdul Manaf, 24, terpaksa bergantung kepada kelapa daripada pembekal tempatan berikutan ketiadaan kelapa import dari Indonesia menjelang Aidilfitri tahun ini.

- Foto HASSAN OMAR

Disiarkan pada: May 22, 2020 @ 6:01pm
d