mutakhir

Jangan ingat rentas negeri boleh terlepas...

Oleh Zuliaty Zulkiffli

INDIVIDU yang merentas negeri untuk pulang ke kampung tidak akan terlepas apabila polis akan mengesan mereka di rumah pada Aidilfitri ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, tindakan bakal diambil terhadap individu yang didapati ingkar dengan arahan kerajaan.

"Pasukan pemantau akan melakukan pemeriksaan di setiap rumah jika menerima maklumat ada perantau yang pulang secara sembunyi.

"Jangan ingat mereka akan terlepas kerana hanya mereka yang merentas daerah saja dibenarkan tetapi beraya dalam jumlah yang dihadkan," katanya.

Mohd Rozi berkata, pegawai dan anggotanya akan membuat pemeriksaan mengejut ke kediaman yang mempunyai jumlah kenderaan yang banyak dan meragukan.

Katanya, pihaknya tidak menafikan ada individu mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

"Ketika perayaan Aidilfitri ini, semua pintu masuk ke sempadan terutama di setiap plaza tol akan diperketatkan, memandangkan alasan diberikan mereka yang ditahan tidak masuk akal.

"Pasukan pemantau akan membuat rondaan pada hari raya pertama, kedua dan ketiga untuk memastikan tiada pergerakan rentas negeri untuk pulang menyambut hari raya di kampung masing-masing," katanya.

Katanya, pihaknya turut menempatkan anggota di pasar raya dan pasar awam di Alor Setar bagi memastikan orang ramai mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Disiarkan pada: May 22, 2020 @ 6:12pm
d