mutakhir

Pati negatif Covid-19 dihantar pulang [METROTV]

Oleh Saipul Adli Mohamad

HANYA pendatang asing tanpa izin (Pati) yang negatif Covid-19 akan dihantar pulang ke negara asal.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan ujian saringan di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan Semenyih bagi mengesan Pati positif pandemik itu.

Beliau berkata, ujian saringan perlu diselesaikan dan keputusan diperoleh negatif sebelum warga asing yang ditahan dihantar pulang bagi mengelak penularan baru wabak.

Menurutnya, setakat ini KKM mengesan 65 kes positif Covid-19 di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil dengan pertambahan 25 kes baharu, hari ini.

"Kes positif di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih pula masih dua orang yang terdiri daripada warga Myanmar.

"Berdasarkan data diperoleh, majoriti warga asing positif di depoh tahanan adalah warga Pakistan," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, saringan sudah dijalankan terhadap 114 kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan mereka disahkan negatif.

Beliau berkata, terdapat tahanan positif Covid-19 ditahan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan manakala sebahagian lain selepas PKP.

Menurutnya, proses saringan akan terus dijalankan manakala mereka yang bergejala dan positif diasingkan untuk rawatan serta pemantauan lanjut KKM.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 22, 2020 @ 6:17pm
    d