mutakhir

Selisih faham keluarga jadi pergaduhan besar

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS menahan 20 individu yang terbabit dalam pergaduhan di sebuah blok Program Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung pergaduhan membabitkan kira-kira 30 individu sebelum bergegas ke lokasi kejadian pada 10.50 malam.

"Siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan perselisihan faham apabila sekumpulan lelaki India iaitu kira-kira 10 individu bergaduh sesama ahli keluarga.

"Pertengkaran tercetus apabila sekumpulan lelaki tidak berpuas hati dengan tindakan beberapa individu yang cuba meleraikan pergaduhan dan dianggap mencampuri urusan keluarga mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, pergaduhan itu kemudian menyebabkan berlaku tolak menolak dan pergaduhan antara mereka.

"Susulan itu, kami menahan 20 lelaki antara berusia 17 hingga 33 tahun. Seorang daripada suspek dilaporkan mengalami kecederaan pada jari telunjuk tangan kanan, manakala, suspek lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Dalam kejadian ini, empat kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir PPR rosak akibat dilanggar kenderaan suspek.

"Setakat ini, kami belum menerima laporan pemilik kenderaan yang dilanggar kenderaan suspek," katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 26 Mei nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Kami sedang giat mengesan suspek lain yang terbabit dalam kejadian itu. Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan mematuhi undang-undang sedia ada.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya bersama-sama menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum supaya kita semua dapat hidup dalam keadaan aman sejahtera terutama ketika Aidilfitri hampir menjelang selain ancaman Covid-19," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03 21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Berita berkaitan:

  • Kecoh kenderaan dirempuh [METROTV]
  • Disiarkan pada: May 23, 2020 @ 2:37pm
    d