mutakhir

Rendang rusa juadah istimewa Aidilfitri

Oleh Mohd Rafi Mamat

WALAUPUN dijual pada harga RM65 satu kilogram (kg), namun permintaan terhadap daging rusa untuk dijadikan juadah istimewa Aidilfitri tetap menggalakkan.

Justeru, bagi memenuhi permintaan menyebabkan penternak Saharuddin Mansor, 55 menyembelih empat rusa sambar yang diternaknya di Kampung Kelat Rendang, Pekan.

Saharuddin berkata, permintaan daging rusa untuk Aidilfitri ini begitu menggalakkan sehingga dia tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan di daerah Pekan.

Katanya, walaupun harganya agak tinggi, namun daging rusa tetap menjadi pilihan.

"Kebanyakan peminat daging rusa membuat tempahan sejak seminggu lalu selepas mereka mengetahui dia akan menyembelih ternakan itu.

"Daging rusa sesuai dimasak rendang, kari, gulai dan goreng. Aidilfitri kali ini menjadi lebih bermakna apabila berpeluang menikmati hidangan istimewa itu," katanya.

Katanya, selain rusa, dia turut menjual daging kerbau dan lembu dengan harga antara RM32 hingga RM35 satu kg.

Pelanggan Mohd Rozi Mat Jais, 49, berkata ia pertama dia membeli daging rusa yang diternak secara bebas selepas membuat tempahan, minggu lalu.

"Daging rusa mempunyai rasa lebih sedap berbanding haiwan lain terutama jika dibuat rendang," katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2020 @ 2:40pm
d