mutakhir

Dua patah kaki, tersepit 45 minit

Oleh Erika George

PEMANDU dan kelindan patah kaki selepas tersepit 45 minit dalam kenderaan yang remuk akibat kemalangan di Kilometer 13, jalan Saratok-Betong, di Saratok pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, lori membawa muatan bahan binaan itu bertembung sebuah lori membawa bahan mentah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok, Nazry Mohamat berkata, lori membawa bahan binaan itu dipandu lelaki berusia 46 tahun dalam perjalanan dari Sibu ke Betong bersama dua kelindan berusia 32 dan 34 tahun.

Katanya, tiba di lokasi kejadian, lori itu bertembung lori sarat dengan muatan bahan mentah dipandu seorang lelaki berusia 58 dan kelindan berusia 31 tahun.

"Anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 9.23 pagi.

"Kami mengambil masa 45 minit bagi mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dan diberi rawatan awal oleh paramedik," katanya.

Menurutnya, pemandu patah kaki kiri manakala kelindan patah kaki kanan dan dihantar ke Hospital Saratok untuk rawatan lanjut.

"Pemandu sebuah lagi lori dan dua kelindan hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2020 @ 2:54pm
d