mutakhir

Pemandu kena reman 5 hari

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PEMANDU kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang melanggar lima orang awam dan gerai bazar Ramadan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, semalam, direman lima hari.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Arshad Kamaruddin berkata, tempoh reman itu bermula hari ini hingga 27 Mei nanti.

"Permohonan suspek dibuat di Mahkamah Shah Alam, hari ini. Pihak mahkamah membenarkan suspek berusia 32 tahun itu direman selama lima hari ini hingga 27 Mei nanti.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Arshad sebelum ini dipetik berkata, tindakan suspek memandu secara melulu akibat tidak berpuas hati dengan tindakan seorang lelaki mengetuk cermin sisi keretanya ketika dia membunyikan hon untuk melepasi jalan sesak berhampiran Jalan Besar Bukit Sentosa.

Kejadian itu juga menyebabkan lima individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun mengalami kecederaan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, setakat ini, dua kereta, dua motosikal dan dua khemah di tapak perniagaan itu mengalami kerosakan akibat dilanggar kenderaan dipandu suspek.

Suspek juga dipercayai dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

Berita berkaitan

  • Mengamuk langgar lima orang awam, gerai
  • Pemandu mabuk buat hal lagi
  • Disiarkan pada: May 23, 2020 @ 3:23pm
    d