mutakhir

Tunggu keputusan saringan wanita hamil [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

JABATAN Kesihatan Negeri Kelantan menafikan dakwaan mengatakan wanita hamil yang positif Covid-19 di Kuala Krai disahkan negatif selepas menjalani saringan kedua.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ujian kedua hanya diambil selepas 13 hari pesakit berkenaan menerima rawatan bagi memastikan sama ada dia sudah bebas atau sebaliknya daripada jangkitan itu.

"Sehingga kini wanita hamil ini masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan dakwaan mengatakan ujian saringan kali kedua negatif adalah tidak benar.

"Pihak kami akan mengetahui keputusannya dalam tempoh 13 hari bermula dari 19 Mei lalu ketika ujian swab kali pertama dilakukan.

"Jika selepas tempoh 13 hari didapati wanita ini masih positif Covid-19, pihak kami akan meneruskan rawatan sehingga dia bebas daripada jangkitan wabak ini," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu hari ini.

Terdahulu, tular di Facebook mendakwa wanita berkenaan disahkan negatif Covid-19 selepas ujian saringan kedua dilakukan ke atasnya.

Dr Zaini berkata, pihaknya percaya kemungkinan berita tular itu disebabkan individu berkenaan terkeliru dengan beberapa ujian sampingan lain yang menunjukkan bacaan negatif.

"Ujian menggunakan teknik PCR-Antigen adalah ujian utama (Gold Standard) untuk pengesahan Covid-19 seperti ujian pertama dilakukan terhadap pesakit ini.

"Kami (jabatan kesihatan) sentiasa memberi rawatan terbaik untuk semua dan pada masa sama menyeru masyarakat agar memberi sokongan moral bukannya memberi komen negatif," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, wanita hamil yang positif Covid-19 di Kelantan dikesan melakukan perjalanan rentas negeri dari Ampang yang berstatus zon merah.

Wanita itu hanya disahkan positif Covid-19 apabila berkunjung ke klinik kesihatan ibu dan anak di Kelantan untuk menjalani rutin pemeriksaan.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengesahkan hasil ujian saringan terhadap 23 kontak terdekat wanita itu adalah negatif, manakala tujuh lagi kontak terdekat lain masih menunggu keputusan ujian saringan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 23, 2020 @ 4:20pm
    d