mutakhir

Panggilan video ubat rindu dua beradik

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

"KEDATANGAN 1 Syawal tahun ini amat suram kerana umi, ayah serta adik bongsu tidak beraya bersama," kata Ainur Aisha Abdullah, 20.

Ainur Aisha dan adiknya, Ainur Khatijah, 15, akan menyambut Aidifitri bersama nenek mereka Halimah Ahmad, 61, selepas ibu bapa serta adik lelaki terkandas di Sydney, Australia sejak 18 Mac lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Ainur Aisha, ibunya Aneta Ahmad, 43, membawa adik Ahmad Amar Iman, 4, untuk bertemu bapa mereka Abdullah Ramli, 46, di Australia pada 7 Mac lalu dan sepatutnya pulang semula pada 2 April lalu.

"Bagaimanapun kerana PKP, umi tidak dapat pulang pada waktu sepatutnya dan sekarang masih terkandas di Australia.

"Umi memang mahu pulang kerana rindukan kami selain cuti yang diambil sudah tamat tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana tiada penerbangan.

"Sekarang Umi terpaksa mengambil cuti tanpa gaji sebagai Pegawai Penerangan Daerah Kuala Kangsar, Perak dan terus kekal di sana sehingga keadaan semakin pulih," katanya.

Dia yang ditemui di rumah neneknya di Kuala Pueh, Hulu Terengganu, berkata pada masa ini mereka berhubung dengan ibu bapanya melalui panggilan video.

"Jika diikutkan hati memang rindu kepada mereka, tetapi apa boleh buat kami terpaksa berpisah untuk sementara waktu.

"Hanya panggilan video yang menjadi penghubung dan tempat melepaskan kerinduan pada mereka. Sambutan Aidilfitri kali ini tidak ceria dan meriah tanpa mereka.

"Persiapan raya hanya dibuat ala kadar sahaja, baju raya pun tidak dibeli pada tahun ini berbanding sebelum ini sebanyak dua pasang seorang," katanya.

Sementara itu, Halimah berkata, dia sentiasa memikirkan keselamatan anak, menantu dan cucunya yang terkandas di Australia sejak PKP dikuat kuasa.

"Memang berasa bimbang akan keselamatan mereka di Australia dan selalu berdoa supaya mereka dapat pulang dengan segera," katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2020 @ 5:01pm
d