mutakhir

Tunggu baris dalam kereta...tak penat pun !

Oleh Ruwaida Md Zain

KAEDAH beratur 'pandu lalu' untuk membeli keperluan akhir bagi persiapan Aidilfitri di Pasar Segar Terkawal (PST) Tapak Pasar Tani Seksyen 13, Shah Alam, Selangor tadi, membantu orang awam mengekalkan jarak fizikal di antara mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, meskipun ada rungutan dalam kalangan pembeli terpaksa beratur panjang, namun ia tidak begitu membebankan.

"Ada rungutan mereka terpaksa beratur panjang tetapi kali ini mereka beratur di dalam kereta, jadi kalau beratur di dalam kereta tidak seteruk beratur dalam keadaan berdiri di tapak pasar.

"Saya juga lihat di tapak pasar agak padat tetapi usaha ini dapat memgurangkan sedikit tekanan kawasan pasar yang sekaligus akan dapat mengekang penularan Covid-19.

"Tambahan pula kebelakangan ini terdapat beberapa kes (covid-19) merebak di pasar, bukan hendak menakutkan orang ke pasar, tetapi kita perlu lebih berhati-hati dan dengan cara ini dapat kurangkan ketegangan di pasar," katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di Selangor Agro Market @ Pasar Segar Terkawal Khas Aidilfitri di Tapak Pasar Tani Seksyen 13 tadi.

Amirudin berkata, bazar yang beroperasi selama dua hari bermula semalam itu memberi peluang kepada penduduk sekitar Shah Alam terutamanya membeli keperluan untuk persiapan Aidilfitri.

"Selain lokasi di sini, kita ada banyak lagi lokaliti lain seumpamanya yang beroperasi sejak 24 Mac lalu seperti di Tanjung Karang, Puchong.

"Apa yang menarik harga ditawarkan lebih murah dari harga pasaran. Contohnya ayam, kalau harga pasaran RM7.90 tetapi di sini sekitar RM7.20.

Jadi pembeli dapat beli dengan harga murah, segar dan berkualiti untuk keperluan hari raya," katanya.

Difahamkan, selain di lokasi terbabit, PST turut dijalankan selama dua hari seperti Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, Tapak Pasar Tani Kelana Jaya, Pusat Operasi FAMA Dengkil, Pusat Operasi FAMA Puchong dan Tapak Pasar Tani Saujana Utama Kuala Selangor.

Disiarkan pada: May 23, 2020 @ 5:15pm
d