mutakhir

Ramadan penuh makna

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan kerana penularan Covid-19 nyata memberi hikmah kepada beberapa ketua keluarga kerana dapat bersama keluarga mengerjakan solat tarawih selama sebulan.

Sebelum ini, ada antara mereka berdepan kekangan kerja, komitmen harian lain dan tinggal berjauhan atas tuntutan tugas, namun PKP menjadikan tahun 2020 kesempatan pertama buat ketua keluarga terbabit dapat beribadah bersama insan tersayang.

Bagi Ilham Che Daud, tiada apa yang lebih membahagiakan apabila dia dapat bertarawih bersama keluarga buat kali pertama sejak lebih lima tahun lalu.

Katanya, sebagai penjawat awam yang diberi peranan di beberapa jabatan sebelum ini termasuk Jabatan Penjara, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan kini di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, tinggal berjauhan dengan keluarga menyebabkan hasrat itu tertangguh.

"Saya di Kuala Lumpur manakala isteri dan anak-anak di Kelantan. Rasa syukur ketika pertama kali dapat mengangkat takbir sebagai imam kepada keluarga sendiri dari awal Ramadan sehingga semalam.

"Sebelum ini sebagai pegawai agama, saya menjadi imam kepada orang lain tetapi kali ini saya gembira kerana dapat memimpin solat keluarga tercinta," katanya yang berada di Melor, Kota Bharu sejak awal pelaksanaan PKP.

Sementara itu, aktivis Yayasan Isra' Malaysia, Muhammad Shukri Shaari berkata, sebelum ini setiap kali Ramadan, jadual hariannya penuh diisi dengan solat bersama imam dari Palestin, Syria dan negara Arab lain.

"Jika tidak pun, saya banyak berbuka di luar dalam program serta jemputan rakan-rakan badan bukan kerajaan. Inilah kali pertama dapat mengimamkan solat dengan keluarga di rumah.

"Rasa gembira itu sukar saya gambarkan kerana walaupun kita berdepan pelbagai kekangan ketika PKP, tetapi hikmahnya sangat indah bila bersama keluarga," katanya.

Muhammd Shukri berkata, dia menggunakan ruang itu untuk memperbetulkan bacaan al-Quran anaknya yang berusia lima tahun serta mempertingkatkan amalan sunat yang lain.

"Ramadan kali ini memang sangat berbeza. Banyak masa kita hanya di rumah dan keluarga, dapatlah luang sepenuhnya dengan mereka," katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2020 @ 5:19pm
d