mutakhir

Kan dah 'mendapat'...

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

TUJUH lelaki termasuk remaja bawah umur ditahan kerana menunggang motosikal dengan aksi 'Superman' dan 'zig-zag' dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Rantau Abang, di Dungun, semalam.

Tindakan berbahaya kesemua suspek berusia 16 hingga 30 tahun itu disedari pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu yang membuat pemantauan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, anggota yang melakukan pemantauan terserempak dengan kumpulan berkenaan yang menunggang motosikal secara berbahaya.

Katanya, mereka membuat aksi 'Superman', 'zig-zag' dan menundukkan badan sebelum anggota bertindak menahan untuk tindakan lanjut.

"Kesemua suspek ditahan dan motosikal ditunggang mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Baharudin berkata, pihaknya menyita tujuh motosikal dengan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya dengan menunjukkan aksi dan Seksyen 60 akta yang sama.

Disiarkan pada: May 24, 2020 @ 9:04am
d