mutakhir

Zakaria ganti Hans Isaac

Oleh BERNAMA

AHLI perniagaan dan aktivis masyarakat, Zakaria Abd Hamid dilantik sebagai pengerusi baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), berkuat kuasa semalam, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata, turut dilantik ialah Presiden Yayasan KRU Datuk Norman Abdul Halim sebagai Timbalan Pengerusi FINAS.

"Ahli lembaga FINAS yang baharu akan diumumkan secepat mungkin dan ini adalah sebahagian langkah kita untuk menambah baik tugas-tugas FINAS," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir mengadakan tinjauan di program Sukarelawan Covid-19 Pertubuhan Alumni Mahasiswa Turun Parlimen (Mantap) di Universiti Kebangsaan Malaysia, di Bangi, malam tadi.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam satu kenyataan berkata, Zakaria yang mempunyai Sarjana Perancangan Bandar daripada California State University, Amerika Syarikat menggantikan Datuk Gerald Hans Isaac yang berkhidmat sejak April 2019.

Norman pula mempunyai pengalaman luas dalam industri media dan hiburan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"KKMM yakin bahawa mereka akan menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan berusaha untuk membangunkan lagi FINAS," kata kenyataan itu.

Pelantikan kedua-dua mereka yang berkuat kuasa semalam, adalah untuk tempoh dua tahun.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, satu pasukan petugas akan ditubuhkan yang bertujuan untuk merangka tindakan masa depan termasuk menyediakan pelan pemulihan ekonomi kepada karyawan dan penggiat seni tempatan yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

Katanya, pasukan petugas itu akan dipengerusi oleh beliau sendiri dengan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Nancy Shukri selaku pengerusi bersama serta dianggotai pemegang kepentingan daripada pelbagai agensi termasuk tokoh tertentu dan juga wakil masyarakat.

Beliau berkata, pada Rabu lalu, kementerian itu mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan untuk menyampaikan input berkenaan usaha menghidupkan semula industri kreatif.

"Minggu lalu kita sudah berikan kebenaran untuk memulakan filem dokumentari dan iklan selepas raya, bagi pemain-pemain besar mereka mungkin mampu untuk restart (menghidupkan semula aktiviti mereka dengan ) segera.

Tapi bagi pemain-pemain kecil... dua tiga bulan mereka tidak ada apa-apa pendapatan, jadi nak hidupkan semula itu memerlukan sedikit bantuan, itu antara kita cadangkan kepada kerajaan , kita tunggulah mudah-mudahan akan ada berita baik untuk penggiat seni," katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2020 @ 9:39am
d