mutakhir

Harap rezeki berpihak, tetapi hampa

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

SAMBUTAN Aidilfitri hari ini ternyata berbeza apabila hanya laungan takbir raya berkumandang tanpa kehadiran jemaah seperti kebiasaan di masjid dan surau.

Namun, arahan kerajaan yang masih tidak membenarkan solat berjemaah di masjid disebabkan penularan pandemik Covid-19 di negara ini sekali gus menjadi sebahagian normal baharu yang perlu dilalui umat Islam negara ini dalam menyambut Aidilfitri.

Bagi Muhammad Asyraf Ismail, 24, dari Besut, Terengganu, dia masih menaruh harapan rezeki berpihak kepadanya pagi ini untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Menurutnya, sebaik tiba di Masjid Jamek Pekan Kajang pada 7.45 pagi, dia akur apabila tidak dibenarkan masuk oleh kakitangan Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Hulu Langat.

"Saya tahu kerajaan masih tidak benarkan solat berjemaah di masjid namun tetap cuba jika rezeki berpihak pada saya hari ini.

"Janggal juga jika pagi raya tidak dimulakan dengan solat sunat Aidilfitri seperti tahun sebelumnya," katanya ketika ditemui hari ini.

Penduduk Taman Kajang Mulia, Mohd Razali Arifin, 60, pula berharap umat Islam dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri seperti tahun sebelum ini.

Menurutnya, pandemik ini diharap dapat berakhir dengan segera dan larangan solat berjemaah ini dapat ditarik semula secepat mungkin.

"Rasa rindu untuk berjemaah di masjid tambahan pula ini menjadi rutin tahun setiap kali Aidilfitri namun kita perlu membiasakan diri dengan normal baharu ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad berkata, hanya imam, bilal dan siak yang dijadualkan bertugas di masjid dan surau sahaja diberikan kebenaran menunaikan solat berjemaah di masjid.

Siaran takbir Hari Raya dan pelaksanaan solat sunat Aidilfitri boleh diikuti melalui Facebook Live Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 24, 2020 @ 2:25pm
    d