mutakhir

Pertama kali tak balik kampung

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

"ADA hikmah di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

"Alhamdulillah, saya dapat menunaikan solat sunat dan takbir Aidilfitri di rumah bersama keluarga," kata Zanariah Ibrahim, 53, berhubung sambutan perayaan Aidilfitri keluarganya selepas tidak dapat pulang ke kampung berikutan larangan rentas negeri.

Zanariah yang menetap di Kalumpang, Hulu Selangor hanya menyambut perayaan itu bersama suami dan dua anak perempuannya di rumah.

Suri rumah itu berkata, tahun ini kali pertama berhari raya di perantauan kerana kebiasaannya beliau dan keluarga pulang ke kampung di Muar, Johor.

"Keluarga saya dan keluarga suami tinggal berjiran, jadi kami dapat menyambut hari raya bersama dengan sangat meriah. Memang sedih kerana tidak dapat pulang ke kampung tetapi hubungan keluarga itu tidak putus.

"Sebaik selesai solat sunat Aidilfitri, saya bersama mak dan empat beradik lain mengadakan tahlil untuk arwah abah menerusi panggilan video," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya berhubung persiapan raya, Zanariah berkata, beliau hanya membuat persiapan secara sederhana dan menyediakan juadah tradisi keluarga iaitu lontong, kuah lodeh, sambal paru dan kuah kacang.

Walaupun ramai jiran yang tidak pulang ke kampung, namun katanya, kawasan kejiranannya itu sunyi kerana kebanyakannya mengambil pendekatan beraya di dalam rumah bersama keluarga.

Keluarganya juga melakukan perkara sama seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 pada musim perayaan.

"Tak apa lah tahun ini kita beraya di rumah. Apa yang kita harapkan supaya wabak ini segera berakhir," katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2020 @ 2:30pm
d