mutakhir

Tangkap pencuri selepas 5 jam

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai memecah masuk rumah di Taman Kundang Jaya, Rawang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang memaklumkan rumahnya dipecah masuk seorang lelaki yang memakai pelitup muka pada 3.30 petang.

"Mangsa memaklumkan ketika dia naik ke bilik tingkat atas rumahnya, dia menemui lelaki berkenaan yang sedang menyelongkar laci di tepi katil.

"Mangsa yang terkejut kemudian menjerit sebelum dia dihampiri suspek yang mengugutnya menggunakan spanar dan mengarahkan supaya membuka semua almari serta laci," katanya dalam kenyataan, di Rawang, hari ini.

Arifai berkata, suspek mengambil wang tunai mangsa berjumlah RM1,500, sejumlah wang tunai Indonesia dan Arab Saudi serta dua gelang emas dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM3,000.

"Kami berjaya menahan suspek berusia 37 tahun yang menaiki kereta dalam keadaan mencurigakan di Jalan Sekolah Kampung Baru Kundang, Rawang, pada 8.30 malam, hari sama.

"Kami turut merampas wang tunai berjumlah RM2,070, wang tunai mata wang rupiah 302,000 atau RM89, dua spanar dan sebuah kereta Proton Wira Aeroback dalam tangkapan itu," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah dan dua rekod berkaitan dadah.

"Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan direman selama lima hari bermula semalam hingga 27 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2020 @ 4:29pm
d