mutakhir

Hasrat hantar lauk raya tak kesampaian

Oleh Roselan Ab Malek

HASRAT seorang anak untuk menghantar nasi dan lauk raya kepada ibunya pada pagi Aidilfitri tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan, hari ini.

Mangsa, Amir Adham Abdul Wahab, 21, meninggal dunia apabila motosika ditunggang terbabas di Kilometer 2 Jalan Jerantut-Maran berhampiran persimpangan lampu isyarat Tok Gajah, 9.46 pagi tadi.

Rakannya yang juga pembonceng motosikal, Nur Anira Amad Nazari turut meninggal dunia dalam kejadian itu.

Bapa Amir, Abdul Wahab Derani, 62, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu keluar dari rumah pagi tadi.

"Dia ada menyatakan hasrat untuk menghantar nasi dan lauk raya dan memohon keampunan hari raya daripada ibunya yang tinggal di Taman Saujana Putra kira-kira 7 pagi tadi.

"Saya tunggu juga arwah Amir balik, sehingga saya dimaklumkan oleh kenalan arwah mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.30 pagi," katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Jerantut.

Sementara itu, sahabat mangsa, Faizal Abdullah, 21, berkata, mereka berbual di malam raya di rumah mangsa dan menyatakan rasa rindu kepada ibunya dan mungkin tidak sempat beraya bersama ibunya, hari ini.

"Saya pergi ke rumah arwah dan berbual hampir 2 jam dan berbincang macam mana nak solat sunat Aidil Fitri kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dibenarkan bersolat di masjid serta turut menyatakan perasaan sangat rindu kepada ibunya," katanya.

Sementara itu, ibu arwah, Azizi Othman, 58, berkata dia ada dimaklumkan oleh anaknya untuk menghantar nasi dan lauk raya ke rumahnya tetapi tidak tiba-tiba sehingga dimaklumkan kejadian itu.

Berita berkaitan:

  • Dua rakan maut, terperosok dalam longkang
  • Disiarkan pada: May 24, 2020 @ 5:09pm
    d