mutakhir

Lemang sangat laris

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PERMINTAAN lemang yang menjadi juadah wajib setiap kali Aidilfitri naik mendadak tahun ini.

Peniaga, Nuraini Shamsu Rizal, berkata, dia hanya menjual lemang kepada pelanggan yang sudah membuat tempahan awal.

Menurutnya, ada pelanggan yang datang terus ke gerai di Jalan Sungai Merab, dekat Bangi, namun dia menolak permintaan kerana stok lemang yang terhad.

"Tahun ini saya membuat 1,000 lemang dan setakat ini lebih 400 sudah terjual dengan semuanya ditempah awal pelanggan.

"Saya kecewa kerana tidak dapat tunaikan permintaan pelanggan namun terpaksa menolak kerana kekurangan stok selain lemang perlu dimasak lama untuk rasa yang enak," katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagi Rizal Abdul Karim, 33, jualan tahun ini meningkat berbanding tahun sebelumnya kerana ramai yang tidak pulang ke kampung.

Katanya, pada hari raya pertama, lemang dijualnya habis dijual dalam tempoh dua jam saja dan dia perlu membakar lemang tambahan bagi memenuhi permintaan.

"Alhamdulillah rezeki tahun ini berganda daripada sebelumnya. Saya menjual 200 lemang sehari dan jumlah itu dijangka terus meningkat," katanya.

Pelanggan, Weri Naldo, 38, mengakui sukar mendapatkan lemang kerana pelanggan perlu membuat tempahan awal berbanding membeli terus.

Katanya, walaupun terpaksa meronda di sekitar Bangi namun itu tidak mematahkan semangat mendapatkan juadah wajib itu.

"Tahun ini semua berbeza bukan saja dari segi sambutan raya malah untuk membeli lemang juga perlu membuat tempahan awal," katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2020 @ 3:06pm
d