mutakhir

Saja cari pasal

Oleh Mohd Roji Kawi

LELAKI yang mencetuskan kemarahan warganet kerana memuat naik gambarnya melanggar arahan kuarantin di rumah dalam Facebook, ditahan di Sibu, hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sibujaya.

Beliau berkata, polis sudah merujuk lelaki terbabit kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

"Lelaki itu yang bekerja di Kuala Lumpur balik ke Sibu para 17 Mei lalu dan diarah menjalani kuarantin di hotel.

"Bagaimanapun, selepas ujian swab negatif lelaki itu kemudian diarah meneruskan kuarantin di rumah sehingga 30 Mei ini," katanya.

Hari ini, lelaki itu mencetuskan kemarahan warganet selepas membuat muat naik di Facebook menunjukkan dia sedang bersarapan di sebuah kedai kopi di Sibujaya.

Berdasarkan perbualan bersama rakannya dalam ruang komen di Facebook, lelaki itu mengaku sudah membuka gelang tangan khas untuk mengelak ditangkap.

Dia turut memberitahu rakannya yang dia mengendurkan gelang tangan yang diperbuat daripada plastik yang dipasang oleh KKM itu bagi individu yang sedang menjalani kuarantin di rumah.

Dev berkata, selepas tular di Facebook, anggota polis bergegas ke kedai kopi berkenaan untuk mencari lelaki berkenaan.

"Menyedari dia dicari, lelaki itu kemudiannya menyerah diri di Balai Polis Sibujaya," katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2020 @ 3:47pm
d