mutakhir

Pengedar dadah terjun sungai penuh buaya

Oleh Erika George

SEORANG pengedar dadah nekad terjun ke dalam Sungai Kemena, Bintulu yang terkenal dengan habitat buaya semata-mata mengelak daripada ditahan polis, semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Bahagian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu menjalankan serbuan di Kampung Dato.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, menyedari kehadiran polis suspek lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun itu melarikan diri dengan terjun ke dalam Sungai Kemena.

"Bagaimanapun suspek berjaya ditarik anggota serbuan dan ditangkap.

"Pemeriksaan ke atas suspek menemukan sebungkus plastik hitam di dalam poket seluar mengandungi satu kotak rokok yang didalamnya terdapat 16 paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai methamphetamine," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, dadah terbabit yang seberat 62 gram dianggarkan bernilai sekitar RM6,500.

Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Bagi kesalahan Seksyen 39B ADB 1952, suspek berhadapan dengan gantung sampai mati mandatori jika didapati bersalah.

Disiarkan pada: May 25, 2020 @ 6:37pm
d