mutakhir

Niat curi lembu tak kesampaian

Oleh Mohd Amin Jalil

HASRAT seorang lelaki untuk melarikan lembu tidak kesampaian selepas kenderaan yang membawa binatang berkenaan terbabas dan terbalik di simpang tiga Pedas-Pilin, Rembau , petang semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan, Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kejadian berlaku kira-kira 6.30 petang semalam membabitkan lelaki rakyat tempatan berusia 40-an.

Menurutnya, lelaki terbabit dipercayai cuba melarikan lembu menggunakan kereta dengan memasukkan binatang itu ke dalam bonet kereta.

"Kami menerima maklumat berkaitan kejadian kemalangan jalanraya yang membabitan kereta di simpang tiga Pedas-Pilin, Rembau, Negeri Sembilan dan bertindak atas maklumat berkenaan, pasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Hasil pemerhatian, pasukan polis mendapati kereta yang dipandu oleh seorang lelaki itu mengalami kemalangan kerana terbabas dan terbalik di tengah jalanraya.

"Pemeriksaan lanjut terhadap kereta itu menemukan senapang angin buatan sendiri dan terdapat seekor lembu dalam bonet kereta itu," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Anuar Bakri berkata, tangkapan dibuat ke atas pemandu kereta itu dan polis turut merampas senapang angin buatan sendiri dari pemandu kereta itu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8(1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan. Orang ramai atau kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan untuk tampil memberi maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau di talian 06-6851999.

"Mereka juga boleh menghubungi Asisten Superintendan (ASP) Md Nurazam Md Ghazali di talian 013-8005225 atau SM Ab Wahab Abu Bakar di talian 011-35562291 untuk membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2020 @ 11:03am
d