mutakhir

Pondok chalet rosak akibat hakisan

Oleh Hassan Omar

TIGA pondok rehat chalet di Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak, Masjid Tanah di sini, rosak akibat dipukul ombak besar pagi tadi.

Pengusahanya, Mohd Hafeez Md Yusof, 35, berkata, terdahulu, tembok konkrit penahan ombak runtuh keseluruhan sekali gus menyebabkan sebahagian pondok itu rosak.

"Pondok ini digunakan tetamu untuk berehat, makan atau membakar makanan laut. Kejadian berlaku antara 1 hingga 7 pagi kerana tengah malam tadi, struktur pondok masih elok walaupun ombak kuat melanda.

"Ombak kuat turut menyebabkan hakisan pantai yang berlaku sejak dua bulan lalu semakin melebar," katanya di temui di lokasi.

Menurut Mohd Hafeez, dia bimbang jika hakisan berlaku berterusan, ia boleh mengancam struktur tiga blok bangunan chalet yang dibina pada 1997 selain rumahnya yang terletak kira-kira 10 meter dari gigi pantai.

"Bagi mengelak berlaku runtuhan lebih teruk, saya bercadang untuk meletakkan batu di hadapan tembok penahan ombak yang sudah runtuh dan yang masih elok namun diancam hakisan serius.

"Jika dibiarkan, hakisan mungkin menjadi semakin teruk malah mengancam struktur chalet serta rumah saya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Abdul Hakim Hamzah berkata, pegawainya akan meneliti hakisan berkenaan sebelum mengambil langkah selanjutnya.

"Kami akan siapkan laporan berkaitan hakisan ini namun usaha untuk mendapatkan peruntukan bagi membina tembok penahan ombak seperti yang dibuat di beberapa pantai sebelum ini mengambil sedikit masa," katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2020 @ 2:14pm
d