mutakhir

Covid-19: 60 peratus Kes Import B di Sabah

Oleh BERNAMA

PENGARAH Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi memberitahu lebih 60 peratus kes Covid-19 di negeri itu adalah jangkitan dari dalam negeri yang kebanyakannya terdiri daripada kontak rakyat Sabah yang baru pulang dari Semenanjung.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia membahagikan kes jangkitan Covid-19 kepada empat kategori iaitu Kes Import A yang membabitkan rakyat Sabah baru pulang dari luar negara dan mendapat jangkitan dari negara lain seperti Vietnam, Thailand, United Kingdom dan Indonesia.

"Kes Import B pula membabitkan rakyat Sabah yang baru pulang dan mendapat jangkitan dari luar negeri (Sabah) terutama dari Semenanjung Malaysia. Kes Import C membabitkan kes jangkitan (dalam negeri) tetapi dikesan di luar daerah tempat pesakit bermastautin dan kategori keempat adalah Kes Tempatan iaitu jangkitan dalam daerah tempat pesakit bermastautin.

"Majoriti kes jangkitan di Sabah adalah kontak kepada Kes Import B iaitu mereka yang dijangkiti di Semenanjung dan baru pulang ke Sabah," menurutnya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Christina berkata, tiada kes baharu dilaporkan semalam dan jumlah kes bagi negeri Sabah kekal 343.

Sementara itu, beliau berkata, penghantaran pulang penuntut institusi pengajian tinggi Sabah disambung semula semalam melalui empat penerbangan sewa khas yang membawa seramai 1,148 pelajar.

Katanya, kesemua penuntut akan diperiksa petugas kesihatan di pintu masuk lapangan terbang.

"Pihak JKNS (Jabatan Kesihatan Negeri Sabah) memohon kerjasama semua pihak untuk memastikan pengurusan pergerakan pulang penuntut berjalan dengan lancar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 26, 2020 @ 2:39pm
    d