mutakhir

Wartawan veteran NSTP meninggal dunia

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

WARTAWAN veteran Datuk Ahmad A Talib meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya, 5.42 petang hari ini, selepas bertarung dengan kanser hati.

Kehilangan wartawan veteran yang pernah menabur bakti berkhidmat di New Straits Times Press (NSTP) disahkan anak perempuannya, Sophia dalam satu status Facebook yang dimuat naik sejurus selepas Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya.

"Dukacita dimaklumkan bahawa insan kesayangan kami, Datuk Ahmad A Talib pulang menemui Penciptanya pada 5.42 petang.

"Jenazah akan dibawa ke Masjid Al Muqarrobin, Bandar Tasik Selatan untuk urusan selanjutnya. Solat jenazah akan diadakan di lokasi sama," katanya.

Allahyarham yang berusia 69 tahun dimasukkan ke Pusat Perubatan Pantai di ibu negara untuk menerima rawatan kanser sebelum Ramadan lalu lagi sebelum meninggal dunia di PPUM, hari ini.

Ahmad Talib pernah berkhidmat di NSTP dan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif, Meja Berita dalam Lembaga Pengarah NSTP pada 1 Julai 2009 dan Pengerusi Institut Akhbar Malaysia.

Kerjaya Allahyarham sebagai wartawan bermula dengan Bernama pada 1972; Business Times (Malaysia) Sdn Bhd (dahulunya Kewangan Penerbitan Sdn Bhd) (1978) dan Berita Harian (1985).

Allahyarham pernah menyandang jawatan Penolong Pengarang Berita Harian (1987); Pengarang Berita New Straits Times; Ketua Pengarang Berita, Pengarang Bersekutu dan Penolong Pengarang Kumpulan (1991-1996).

Seterusnya dilantik sebagai Pengarang Kumpulan, New Straits Times (1998) dan Pengurus Besar Kumpulan dan Komunikasi dan Pemasaran Editorial NSTP (2004). Beliau turut memulakan Travel Times, Cars, Bikes dan Trucks.

Pada 2005, Allahyarham mengumumkan persaraannya daripada Kumpulan NSTP.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Penasihat Kumpulan Tanggungjawab Sosial Korporat Media Prima Berhad (MPB).

Allahyarham pernah diberi tanggungjawab menjadi moderator dalam beberapa rancangan di Media Prima Berhad termasuk Soal Jawab di TV3.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Norsimah Daud dan empat anak.

Disiarkan pada: May 26, 2020 @ 6:44pm
d