mutakhir

Ops gempur cegah denggi

Oleh Asrol Awang

TIADA lagi kompromi terhadap pemilik kediaman dan premis perniagaan sekiranya agensi penguatkuasa menemui jentik-jentik di kawasan mereka dalam Ops Gempur Aedes yang dijalankan dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Abd Rahim Muda berkata, operasi itu bagi menghapus kawasan tempat pembiakan nyamuk aedes yang meningkat di Pahang, khususnya daerah ini.

Katanya, kawasan tumpuan ialah di Sungai Isap, di sini yang kini merekodkan peningkatan kes denggi tertinggi hingga mengundang kebimbangan di kalangan masyarakat.

"Dalam tempoh terdekat ini, kerajaan negeri bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang akan melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah.

"Sekiranya menemui tempat pembiakan jentik-jentik, kompaun serta merta akan dikenakan terhadap pemilik sebagai langkah berkesan bahawa kes denggi perlu diberi perhatian serius.

"Kompuan RM500 mengikut Seksyen 13 (2) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abd Rahim berkata, statistik kes demam denggi di Pahang menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 1,115 kes atau 118.2 peratus dari 1 Januari sehingga 16 Mei lalu berbanding hanya 511 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, daerah Kuantan merekodkan jumlah denggi tertinggi dengan 796 kes iaitu mewakili 71.4 peratus di Pahang.

"Daripada 53 lokaliti wabak yang direkodkan, sebanyak 46 lokaliti membabitkan Kuantan iaitu dianggarkan satu kes demam denggi bagi

setiap 700 penduduk.

"Sehubungan itu, bagi memastikan kes denggi dapat dikawal dan tidak meningkat, masyarakat perlu memastikan tiada nyamuk aedes di kawasan mereka.

"Langkah paling berkesan ialah menghapuskan tempat pembiakan jentik-jentik seperti bekas yang boleh menakung air bersih dan jernih serta yang terlindung daripada matahari.

"Bahan buang domestik atau bahan binaan perlu diuruskan dengan sempurna supaya tidak menjadi tempat pembiakan aedes.

"Sebaiknya melakukan pemeriksaan dan rawatan awal sekiranya mengalami tanda dan gejala denggi seperti demam, sakit badan dan sakit sendi di fasiliti kesihatan berhampiran," katanya

Disiarkan pada: May 26, 2020 @ 7:16pm
d