mutakhir

Covid-19: Henti guna ubat antimalaria jika memudaratkan [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan

UBAT antimalaria, hydroxychloroquine yang digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 akan dihentikan serta-merta jika pesakit mengalami kesan sampingan memudaratkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ubat itu digunakan dalam tempoh lima hari terhadap pesakit pada peringkat awal jangkitan atau dalam kategori satu dan dua.

Beliau berkata, ia memberi kesan terhadap selang denyut jantung pesakit selain penglihatan kabur.

Katanya, beliau dimaklumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengenai penangguhan ujian bersama (solidarity test) yang dijalankan beberapa negara terhadap penggunaan hydroxychloroquine yang selama ini digunakan untuk merawat malaria dan lupus (SLE).

"Setiap ubat ada kesan sampingan. Kalau kita lihat pada ubat hydroxychloroquine, kita nak guna ubat itu, kita kena pantau kesan samping.

"Antara kesan samping yang membimbangkan seluruh dunia ialah kesan samping pada jantung iaitu selang denyut jantung lebih panjang iaitu (QT intervals). Ia juga memberi kesan kepada penglihatan seperti kabur," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham menjelaskan sejak hari pertama lagi hydroxychloroquine digunakan secara secara off label (bukan tujuan utama ubat itu) kerana ia digunakan untuk malaria dan SLE.

Bagaimanapun, katanya, untuk Covid-19, ia bukan satu daripada indikasi penggunaannya yang mana penggunaan hydroxychloroquine terhadap pesakit Covid-19 pada kategori satu dan dua bertujuan membantutkan penyakit itu menjadi kategori empat dan lima.

"Kalau guna pada pesakit pada peringkat awal jangkitan ia dapat mencegah daripada merebak ke kategori empat dan lima...tetapi ada kesan samping.

"Jika ada kesan terhadap selang denyut jantung kita kena hentikan penggunaan, kalau tidak ia akan menyebabkan jantung terhenti," katanya.

Begitu pun, katanya, Malaysia masih lagi menggunakan ubat hydroxychloroquine dalam rawatan pesakit Covid-19 namun lebih berhati-hati terhadap penggunaannya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 26, 2020 @ 9:00pm
    d