mutakhir

KKM akan laksana protokol baharu rawatan Covid-19

Oleh Shamran Sarahan

PESAKIT dijangkiti Covid-19 yang sudah menerima rawatan dalam tempoh 14 hari akan dibenarkan pulang walaupun masih dikesan positif virus berkenaan, itu protokol baharu akan dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam rawatan Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, protokol baharu itu selaras dapatan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta kajian Korea Selatan dan Taiwan mendapati kebolehjangkitan Covid-19 hampir sifar selepas 14 hari pesakit menerima rawatan.

"Laporan terkini WHO menyebut bahawa pesakit boleh didiscaj sekiranya sudah menerima rawatan melebihi 14 hari.

"Apa yang penting sekarang ini mengikut WHO, mungkin ujian positif itu dikesan dalam ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) pada hari ke-13 yang masih positif, iaitu peluruhan virus (virus shedding), ia adalah positif lemah yang tidak menjangkiti atau kebolehjangkitan kurang atau hampir sifar.

"Persoalannya adakah mereka ini masih boleh menjangkiti? Kebolehanjangkitan itu masih ada tetapi mengikut laporan WHO, kalau mereka sudah melepasi tempoh 14 hari, kebolehjangkitan adalah sifar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, protokol sebelum ini menetapkan pesakit hanya boleh dibenarkan pulang selepas ujian yang dijalankan terhadap mereka pada hari ke-13 dan dalam tempoh 24 jam selepas itu menunjukkan keputusan negatif.

"Selepas itu kita ubah, kita perlukan hanya satu keputusan negatif cukup untuk discaj pesakit.

"Tetapi semalam maklumat yang kita terima dari WHO dan kajian dari negara lain menunjukkan bahawa kebolehjangkitan sudah kurang selepas tempoh 14 hari," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan melihat semula laporan untuk prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk merawat pesakit Covid-19 termasuk kemungkinan tidak lagi perlu menggunakan ujian PCR.

Justeru, katanya, setiap pesakit positif Covid-19 akan menggunapakai protokol baharu ini untuk tempoh 14 hari rawatan.

"Laporan baru kita terima dan kita akan maklumkan kepada semua pakar kita di hospital mengenai protokol baharu dan kita akan merawat kes positif untuk tempoh 14 hari sahaja.

"Walaupun mereka akan positif selepas tempoh 14 hari, tetapi kebolehjangkitan itu adalah hampir sifar," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, selepas dibenarkan pulang pesakit masih dinasihatkan untuk menjalani kuarantin selama dua minggu di rumah.

Katanya, KKM masih lagi mempelajari virus berkenaan berikutan ia masih baharu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 26, 2020 @ 9:27pm
    d