mutakhir

Sakan 'beraya' ya...

Oleh Ruwaida Md Zain

EMPAT rakan diberkas dalam Op Syawal ketika 'beraya' sambil menghisap dadah pada hari raya kedua di sebuah rumah di Jalan Kampung Rantau Panjang, Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Klang Utara menyerbu rumah itu kira-kira 11 malam.

"Sebaik tiba di lokasi, polis mendapati pintu hadapan rumah tertutup rapat tetapi tidak berkunci.

"Apabila anggota masuk, didapati empat lelaki sedang duduk di kerusi meja makan di dapur rumah dan menemui satu tin kecil di dalamnya terdapat dua paket plastik lutsinar berisi bahan kristal disyaki syabu dengan anggaran berat 5.15 gram," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nurulhuda berkata, suspek tidak melawan ketika tangkapan dibuat dan rumah itu milik suspek pertama yang tinggal bersama bapanya.

"Tiga lagi suspek ke rumah berkenaan selepas bapa suspek pertama tiada di rumah. Semua mereka berusia antara 23 hingga 38 tahun dan seorang daripadanya penganggur," katanya.

Menurutnya, mereka didapati positif Methamphetamine direman empat hari hingga Jumaat untuk siasatan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam pada itu, Op Syawal sama turut memberkas tiga lelaki secara berasingan atas kesalahan dadah yang disiasat mengikut Seksyen 12(A) ADB 1952.

Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 9:58am
d