mutakhir

CIDB boleh batal, gantung pendaftaran kontraktor [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) boleh mengambil tindakan tatatertib terhadap kontraktor termasuk menggantung atau membatalkan pendaftaran mereka jika tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Menteri Kanan (Kerja Raya) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kontraktor perlu memastikan tapak pembinaan dan tempat tinggal pekerja mematuhi SOP untuk mencegah Covid-19.

Menurutnya, kontraktor yang tidak mengikut SOP di tapak pembinaan dan tempat penginapan pekerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak akan dibenarkan memulakan operasi.

"Adalah menjadi tanggungjawab kontraktor memastikan tapak pembinaan dan tempat tinggal pekerja mereka mengikut SOP dan standard minimum seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

"Saya juga ingin menyatakan kebimbangan mengenai kes terbaru Covid-19 yang membabitkan pekerja tapak binaan baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan.

Fadillah berkata, CIBD sudah dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mengenai 44 kes positif Covid-19 di sebuah tapak pembinaan di Kuala Lumpur.

"Kes positif ini dijumpai selepas kontraktor menghantar 400 pekerjanya untuk ujian saringan Covid-19 sebagai persiapan untuk memulakan kerja, seperti yang dikehendaki mengikut SOP bersyarat Industri Pembinaan.

"Tapak pembinaan belum beroperasi ketika kes positif ditemui," katanya,

Beliau berkata, kes ini juga didapati berlaku di tempat tinggal pekerja yang sesak sehingga mustahil untuk mengamalkan penjarakan sosial.

"Antara inisiatif utama Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) yang bermula pada 2016 juga untuk memastikan penginapan pekerja di industri pembinaan mengikut standard minimum seperti dikehendaki undang-undang.

"Selain itu, cara terbaik bagi industri pembinaan untuk maju selepas Covid-19 adalah memastikan mereka tidak lagi terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing yang murah," katanya.

Beliau berkata, sebaliknya mereka boleh menggunakan khidmat pekerja tempatan mahir dan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS)untuk meningkatkan kualiti, keselamatan, kelestarian dan produktiviti projek pembinaan mereka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 2:40pm
    d