mutakhir

[UPDATE] Penumpang van keselamatan maut, kemalangan tiga kenderaan

Oleh Rosman Shamsudin

PENUMPANG belakang van keselamatan yang membawa wang tunai maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan lori tangki muatan diesel dan lori sayur di Kilometer 389.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berdekatan Behrang, 12.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori membawa muatan diesel dari Klang, Selangor ke Slim River gagal mengawal kenderaan lalu melanggar belakang van.

Katanya, pelanggaran menyebabkan pemandu van merempuh pula lori membawa muatan sayur.

"Dalam kejadian itu, mangsa dikenali Iruwan berumur 39 tahun yang duduk di belakang van maut di tempat kejadian.

"Manakala, pemandu van cedera parah dan penumpang di sebelahnya cedera ringan serta kedua-dua pemandu lori terbabit tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kemalangan berhampiran sekatan jalan raya (SJR) itu menyebabkan laluan lebuh raya dari arah utara dan selatan sesak kira-kira satu kilometer.

Kesesakan yang berlaku di arah selatan disebabkan lori tangki terbabas serta melintang ke arah laluan selatan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) negeri berkata, anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Pasir Puteh, Ipoh turut serta memberi bantuan membersihkan tumpahan diesel akibat kemalangan terbabit.

Menurutnya, operasi membersihkan tumpahan minyak tamat kira-kira 3 petang tadi bagi membolehkan lalu-lintas pulih kembali.

Berita berkaitan

Laluan sesak, lori tangki terbabas [METROTV]

Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 3:24pm
d