mutakhir

Moga diberi kesembuhan wiraku

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

SEORANG petugas barisan hadapan yang baru pulang dari Op Taring yang diserang angin ahmar dihantar pulang ke kampung halamannya dengan penerbangan khas dari Lapangan Terbang Sandakan hasil kerjasama Pasukan Gerakan Udara (PGU) , hari ini.

Lans Koperal Mohamad Syazwan Othman, 28, adalah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran dalam Platun 3, Kompeni C diserang penyakit itu, 3 Mei lalu.

Pegawai Pemerintah, PGA Batalion 20 Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, disebabkan kesukaran dihadapi anggota berkenaan yang tidak mempunyai saudara mara di Sandakan, penerbangan ihsan dipohon dan diluluskan.

Menurutnya, penerbangan ihsan menggunakan pesawat King Air Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menghantar terus anggota itu ke Sungai Petani, Kedah.

"Anggota ini seorang aktif serta pernah menyertai ujian saringan bagi memasuki pasukan Komando 69.

"Namun, dua hari selepas selesai menjalankan Op Taring, beliau dilaporkan mengalami angin ahmar.

"Selepas terkena serangan penyakit itu, anggota PGA yang juga rakan serumahnya bergilir menjaga Mohamad Syazwan dan hari ini beliau diterbangkan ke kampung halamannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan penerbangan ihsan berkenaan termasuk semua pucuk pimpinan PDRM.

Katanya, anggota PGA Batalion 20 Beluran turut mengumpulkan dana khas kira-kira RM8,500 dan diserahkan kepada Mohamad Syazwan.

Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 3:29pm
d