mutakhir

'Itu video tahun 2012' - Timbalan MB Kelantan

Oleh Syaherah Mustafa

TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjelaskan rakaman videonya yang tular baru-baru ini adalah video lama iaitu pada 2012.

Video berdurasi dua minit itu memaparkan Mohd Amar menjawab isu air di Kelantan yang menimbulkan pelbagai reaksi daripada warganet.

Mohd Amar berkata, orang ramai sepatutnya perlu tahu latar belakang atau kisah sebenar di sebalik video terbabit selain memastikan punca sebenar beliau menjawab sedemikian.

"Sebenarnya, video itu diambil semasa saya menjawab isu air di Kelantan selepas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) mengadakan demonstrasi di Lembah Sireh, di sini.

"Pada ketika itu, beberapa wakil Umno dengan jumlah yang tidak ramai malahan boleh dibilang dengan jari membuat demonstrasi membabitkan isu air seolah-olah mereka tidak tahu punca sebenar.

"Walhal, situasi sebenar apabila kerajaan negeri sewaktu itu disekat kerajaan pusat dengan tidak diberi duit selain didiskriminasi dalam isu air menyebabkan saya memberi respon terbabit yang sesuai dengan keadaan semasa," katanya ketika sidang media selepas melawat rumah mangsa kebakaran di Perumahan Jabatan Perumahan Negara (JPN), Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai perlu menonton keseluruhan video untuk mengetahui cerita sebenar dan bukannya yang sudah disunting seminit dua menyebabkan berlaku salah faham.

Sementara itu, Mohd Amar berkata, tiga rumah musnah dalam kebakaran jam 3.45 pagi kelmarin.

"Saya bersimpati dengan nasib mangsa yang terkesan dengan tragedi ini, lebih memeritkan ia berlaku di Hari Raya. Namun bersyukur kerana tiada berlaku kemalangan jiwa atau korban nyawa.

"Kerajaan negeri sedia membantu seadanya selain menasihatkan mereka untuk mengisi borang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Tabung Serambi Mekah melalui pejabat Menteri Besar Kelantan," katanya

Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 3:43pm
d