mutakhir

Armada desak hukuman lebih tegas terhadap pemandu mabuk

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

ANGGOTA Bersatu Anak Muda (Armada) mendesak pindaan terhadap hukuman kesalahan pemandu mabuk dipercepatkan bagi membolehkan tindakan lebih tegas dilaksanakan terhadap golongan itu.

Exco Armada Nasional Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muzzammil Ismail berkata, isu pemandu mabuk ini sudah terlalu lama berlaku di negara ini di mana pesalah 'membunuh' ramai pengguna jalan raya dan ia harus dinoktahkan dengan memberikan mereka hukuman lebih berat.

Menurutnya, hukuman yang dikenakan sekarang tidak setimpal dan tidak memberi pengajaran kepada pemandu mabuk lain.

"Adil kah memandu mabuk sehingga membunuh akhirnya hanya dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda.

"Pemandu mabuk yang didapati salah wajar digantung lesen seumur hidup bagi memberi peringatan keras kepada semua pemandu di seluruh negara, " katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Muzzammil berkata, bagi kesalahan pemandu mabuk itu, tempoh penjara yang dicadangkan ialah sehingga 20 tahun selain kadar denda tinggi yang dikenakan supaya memberi peringatan keras kepada semua pemandu.

"Isu pemandu mabuk ini sudah terlalu lama dan pesalah membunuh ramai insan yang tidak bersalah...berapa ramai lagi anak kecil perlu menjadi korban mahupun yatim piatu.

"Kerajaan wajib pinda dan gubal undang-undang serta kuatkuasa tindakan tanpa pilih kasih. Buktikan dan beri keyakinan kepada rakyat, kerajaan mampu menyelesaikan isu tidak sudah ini, " katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 5:53pm
d