mutakhir

ICQS Padang Besar ditutup

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KOMPLEKS Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar ditutup bermula hari ini sehingga ke satu tarikh yang dimaklumkan kelak berikutan enam warga Thailand yang melaluinya untuk masuk ke negara itu kelmarin disahkan positif Covid-19.

EXCO Hubungan dan Kerjasama Sempadan Perlis, Ruzaini Rais berkata, berikutan itu seramai 18 kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (10 orang) dan Kastam Diraja Malaysia (enam orang) dikuarantin selama 14 hari bermula hari ini atas faktor keselamatan.

Katanya, enam warga Thailand itu antara kumpulan 39 pelajar yang menuntut di sebuah universiti di Riyadh, Arab Saudi dan kepulangan mereka diuruskan sepenuhnya oleh kerajaan Thailand sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Perkara ini dimaklumkan oleh kerajaan Thailand pada hari ini bahawa di dalam kumpulan terbabit, enam daripadanya disahkan positif Covid-19.

"Tiga daripada menjalani proses kuarantin di Songkhla manakala tiga lagi menjalani kuarantin di rumah mereka di sana.

"Jadi sebagai langkah keselamatan kita menutup urusan berkaitan di Kompleks ICQS bermula hari ini kepada semua pihak termasuk kakitangan bertugas untuk melakukan proses sanitasi dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ruzaini berkata, kesemua kakitangan bertugas pada 25 Mei lalu akan menjalani proses kuarantin di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar bermula hari ini.

"Jadi saya mengingatkan lagi sekali kepada rakyat di negeri ini untuk lebih berjaga-jaga berikutan timbulnya kejadian sebegini.

"Walaupun kita berada di zon hijau, kita tidak boleh memandang ringan akan perkara sebegini," katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 8:30pm
d