mutakhir

27 ditahan langgar PKPB di Kuantan

Oleh Mohd Rafi Mamat

SERAMAI 27 individu termasuk tiga wanita warga Thailand ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Semua ditahan berusia 17 hingga 63 tahun didapati berkumpul untuk berhibur dan minum arak di dua premis berasingan di Kuantan, Pahang, 25 Mei lalu dan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, tangkapan pertama membabitkan lapan lelaki tempatan bersama tiga wanita warga Thailand di sebuah kafe di Air Putih di sini, 5 petang, 25 Mei lalu.

Menurutnya, kes ini turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63dan Enakmen Hiburan.

Beliau berkata, kes kedua membabitkan penahanan 16 individu termasuk seorang wanita selepas didapati berkumpul di sebuah rumah di Indera Mahkota di sini, awal pagi tadi.

"Hasil pemeriksaan kira-kira jam 12.30 pagi itu, semua suspek mendapati sedang berkumpul sambil minum arak.

"Daripada semua yang ditahan, tujuh didapati positif dadah dan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1957," katanya melalui satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata, semua warga tempatan dikompaun mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 .

"Pihak polis sedang mengumpul maklumat untuk tindakan selanjutnya terhadap pihak yang sengaja melanggar syarat PKPB.

"Tindakan berterusan dan tegas akan diambil bagi memastikan orang ramai patuh dengan perintah itu yang dilaksanakan bagi mengekang penularan jangkitan wabak Covid-19," katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai supaya patuh kepada peraturan dan undang-undang atau berdepan tindakan.

Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 9:45pm
d