mutakhir

Individu dikuarantin tak boleh keluar rumah langsung

Oleh Shamran Sarahan

PERINTAH kuarantin selama 14 hari di rumah bermaksud duduk di kediaman masing-masing sepanjang tempoh itu tanpa sebarang aktiviti di luar, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, mereka yang didapati keluar dari rumah ketika masih dalam tempoh kuarantin dianggap ingkar kepada perintah terbabit justeru tindakan mengikut Akta 342 boleh dikenakan.

"Kalau mereka sudah dikenal pasti atau ditetapkan supaya kuarantin di rumah, maksudnya mereka perlu duduk di rumah iaitu tidak boleh keluar dari rumah, itulah yang kita katakan kuarantin. Kalau mereka keluar dari rumah pergi ke pasar dan joging, itu bukan kuarantin.

"Apa yang kita laksanakan setakat ini adalah kuarantin wajib, untuk mereka yang pulang dari luar negara mesti dikuarantin selama 14 hari di lokasi yang sudah dikenal pasti oleh pihak berkuasa," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau memberi reaksi itu bagi menjawab soalan pemberita mengenai penggunaan wristband atau gelang tangan khas untuk mereka yang sedang menjalani tempoh kuarantin.

Merujuk isu itu, Dr Noor Hisham ditanya mengenai nasihat atau tindakan yang boleh diambil sekiranya individu yang memakai gelang tangan khas terbabit dikesan keluar rumah dan berada di tempat awam seperti pasar, kedai makan dan sebagainya.

Justeru, Dr Noor Hisham mengingatkan mereka yang diarah menjalani kuarantin di rumah supaya duduk di rumah dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memantau sama ada mereka keluar dari rumah atau tidak.

"Jika mereka keluar dari rumah bererti mereka dianggap tidak patuh kepada peraturan atau perintah kuarantin ini dan tindakan boleh diambil mengikut Akta 342 terhadap mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 10:04pm
    d