mutakhir

Tiada tangan bukan penghalang

Oleh Ramli Ibrahim

BIARPUN fizikalnya cacat kerana dilahirkan tidak ada kedua tangan, remaja lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) ini mampu menaip menggunakan kaki dengan pantas.

Mohd Zulkifle Nordin, 24, berkerja sebagai Pengurus Teknologi Maklumat (ICT) di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Gua Musang, cekal menjalani kehidupannya dengan membuktikan dengan ilmu yang ada boleh melakukan sebarang pekerjaan.

Dia yang memiliki ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah Universiti Teklonogi Mara (UITM) Seri Iskandar Perak, mula bekerja di Pusat Khidmat DUN Paloh Januari lalu.

"Saya tamat pengajian Ogos tahun lalu dan mendapat tawaran bekerja di DUN Paloh tanpa ada sebarang halangan. Walaupun mempunyai kelulusan dalm bidang hartanah tetapi disebabkan ada kebolehan dalam bidang ICT, saya dapat melakukan sebarang tugas diamanahkan.

"Bagi saya sudah menjadi perkara biasa menulis, menaip dan suap makanan menggunakan kaki kerana saya memang dilahirkan tanpa ada dua tangan seperti insan normal lain. Saya tidak pernah kesal dilahirkan begini dan berusaha untuk menjadikan manusia yang berjaya di dunia dan akhirat," katanya.

Dia mengakui sukar untuk ke tempat kerja kerana tidak boleh membawa kenderaan dengan keadaannya itu bagaimanapun bersyukur kerana dibantu bapa untuk menghantar dan mengambilnya setiap hari.

Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 11:54am
d