mutakhir

Penjawat awam didenda RM1,800 palsu dokumen rentas negeri [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PENJAWAT didenda RM1,800 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini atas kesalahan memalsukan dokumen kebenaran merentas negeri, Isnin lalu.

Tertuduh, Mohd Norhisham Ismail, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.

Mohd Norhisham yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Putrajaya didakwa mengikut Seksyen 177 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan dokumen.

Lelaki itu sepatutnya pulang ke Putrajaya pada 17 Mei lalu, namun dia dipercayai menukar tarikh pada surat kebenaran kepada 26 Mei bagi membolehkannya tinggal lebih lama di kampung bagi menyambut Aidilfitri.

Dia bersama isterinya memberi alasan pulang untuk menghantar ubat kepada bapanya di Pendang, Kedah.

Tertuduh datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk memohon surat kebenaran dari Pendang ke Putrajaya, namun pihak polis mengesyaki sesuatu mencurigakan pada surat kebenarannya.

Berikutan itu, anggota polis menghubungi pihak yang mengeluarkan surat kebenaran di Putrajaya sebelum mendapati tarikh berbeza dan mengesahkan individu itu sepatutnya pulang pada 17 Mei lalu.

Berikutan itu, lelaki terbabit dan isterinya tidak dibenarkan pulang ke Putrajaya sehingga siasatan kes selesai.

Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 2:19pm
d