mutakhir

Rumah ibadat bukan Islam beroperasi semula 10 Jun

Oleh BERNAMA

SEBANYAK 174 rumah ibadat bukan Islam diluluskan untuk beroperasi semula pada 10 Jun ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Ibadat Dalam Zon Hijau.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan hari ini berkata permohonan yang diluluskan mengikut ketetapan digariskan dalam SOP seperti bilangan kehadiran maksimum 30 orang serta tertakluk kepada saiz keluasan rumah ibadat.

Kelulusan untuk rumah ibadat berkenaan beroperasi dibuat dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 21 Mei lalu.

"Kementerian ingin mengingatkan bahawa hanya rumah ibadat yang mendapat kelulusan mengikut hari dan masa beroperasi akan dibenarkan bermula pada 10 Jun 2020," kata kenyataan itu.

Antara rumah ibadat di bawah badan agama berkenaan ialah Fo Guang Shan, Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur, National Evangelical Christian Fellowship Malaysia, Malaysia Hindu Sangam, Majlis Gurdwara Malaysia dan Persekutuan Pertubuhan Tao Malaysia.

Menurut kenyataan itu, pembukaan rumah ibadat yang lain perlu dipohon melalui badan agama masing-masing dan seterusnya dikemukakan kepada Kementerian Perpaduan Negara mengikut prosedur ditetapkan selepas 10 Jun.

"Permohonan yang diterima akan dibawa oleh pihak kementerian kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri untuk kelulusan dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Perpaduan Negara berkata urusan perkahwinan di kuil, gereja dan persatuan agama ditangguhkan hingga 31 Julai ini berdasarkan pada surat Ketua Pengarah Pendaftaran Negara bertarikh 12 Mei 2020.

Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 2:51pm
d