mutakhir

TNB diarah perjelas kekeliruan rakyat

Oleh Balqis Jazimah Zahari

KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) akan meneliti kaedah pengiraan bil elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana didakwa melambung tinggi.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, terdapat kemungkinan berlaku kekeliruan di kalangan rakyat berhubung kaedah pengiraan bil utiliti berkenaan oleh TNB.

"Penjelasan berkaitan dengannya (kaedah pengiraan) sudah kita buat, cuma kita memahami mungkin ada kekeliruan di kalangan rakyat.

"Apa juga kaedah pengiraan, TNB tidak boleh buat sewenang-wenangnya dan ia hanya boleh dilakukan selepas diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga yang mengawal selia sebarang perkara berkenaan isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja Perlaksanaan Projek Rangsangan Ekonomi di Suruhanjaya Tenaga Perak di Ipoh, hari ini.

Shamsul diminta mengulas rungutan dan dakwaan pelbagai pihak di media sosial berhubung bil elektrik didakwa melambung tinggi sepanjang PKP dilaksanakan.

Menurutnya, pihaknya sudah mengarahkan TNB meningkatkan penjelasan kepada rakyat berkaitan isu terbabit.

"Dalam apa keadaan, saya hendak menyatakan apa yang dijanjikan oleh kerajaan melalui pengumuman Perdana Menteri akan kita laksanakan kerana itu yang kita janjikan.

"Paling penting, kita akan memberi penjelasan kepada rakyat yang mungkin keliru mengenai perkara ini (kaedah pengiraan)," katanya. Di samping itu, beliau berkata, TNB juga akan membuka Kedai Tenaga dan memperluaskan ruang untuk rakyat bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung kaedah pengiraan bil elektrik.

"TNB akan menambahkan pembukaan kedai tenaga mulai 1 Jun ini di kebanyakan tempat supaya rakyat boleh berhubung dan mendapatkan maklumat mengenai kaedah pengiraan.

"Saya meminta rakyat sekiranya ada apa-apa masalah boleh terus merujuk dan berhubung dengan TNB atau kementerian sendiri," katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 3:44pm
d