mutakhir

Taman Tasik Titiwangsa Ditutup

Oleh Rosyahaida Abdullah

TAMAN Tasik Titiwangsa ditutup sepenuhnya kepada orang awam bermula hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan langkah itu diambil bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di taman awam terbabit yang merekodkan kehadiran pengunjung yang ramai.

"Bagaimanapun, aktiviti berjoging masih dibenarkan di luar keliling taman," demikian menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan ketika dihubungi mengesahkan penutupan taman berkenaan.

Jelas beliau, keputusan dibuat hasil mesyuarat pusat pengurusan krisis (CMC) semalam selepas mendapati kadar pematuhan yang rendah terhadap prosedur operasi standard (SOP) oleh pengunjung.

"Hasil pemantauan kita mendapati tahap pematuhan pengunjung terhadap SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak begitu memuaskan terutama dari segi penjarakan sosial.

"Oleh itu, Taman Tasik Titiwangsa ditutup sepenuhnya bermula hari ini, namun aktiviti berjoging masih boleh dilakukan di trek yang ada di luar taman," katanya kepada Harian Metro.

Nor Hisham berkata, pemantauan akan diteruskan untuk 15 lagi taman awam seliaan DBKL bagi melihat sejauh mana pengunjung patuh kepada SOP ditetapkan.

"Intipan akan turut dilakukan di semua taman awam lain seperti Taman Metropolitan Kepong dan Taman Botani Perdana misalnya untuk melihat adakah pengunjung patuh kepada SOP KKM.

"Jika pematuhan kurang atau tiada, taman awam lain juga akan ditutup bagi memastikan tiada risiko penularan wabak Covid-19 di mana-mana taman awam kita," katanya.

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 5 Mei lalu, beberapa aktiviti luar mula dibenarkan antaranya joging sendirian di taman awam.

DBKL turut mengambil langkah membenarkan joging sendirian di semua taman awam seliaan agensi itu dengan menasihatkan pengunjung untuk kekal mematuhi SOP KKM, khususnya penjarakan sosial.

Dalam perkembangan berkaitan, Nor Hisham menyeru peniaga di ibu negara untuk menggunakan sistem KLStep yang dibangunkan DBKL untuk tujuan rekod pengunjung.

Menerusi kaedah imbasan kod QR di telefon pintar, sistem itu menurut beliau membolehkan data pengunjung premis perniagaan diselaras dibawah satu aplikasi.

"Kita minta peniaga sediakan sistem ini di premis masing-masing dalam tempoh tiga hari bermula hari ini.

"Penggunaan KLStep bukan saja menyelaras rekod kehadiran pengunjung malah memudahkan pihak KKM melakukan pengesanan kontak jika berlaku kes positif Covid-19 yang berpunca daripada kunjungan ke premis berkenaan," katanya.

Beliau menambah, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan pematuhan SOP oleh majoriti peniaga namun tidak menafikan masih wujud isu penjarakan sosial dalam kalangan pengunjung.

"Ada pengunjung yang berebut sewaktu membeli barang dapur, di pasar basah pun ada juga isu penjarakan sosial dan kita nasihatkan supaya sentiasa beringat mengenai SOP yang sudah ditetapkan," katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 3:56pm
d