mutakhir

Pemandu mabuk direman tiga hari

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PEMANDU kereta dipercayai mabuk yang hampir merempuh sekatan jalan raya di Kilometer 40.8 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Hutan Kampung, Alor Setar, malam tadi direman tiga hari untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, suspek lelaki berusia 58 tahun direman bermula hari ini sehingga Sabtu ini.

"Siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan polis akan memastikan suspek tidak terlepas daripada tindakan undang-undang," katanya.

Terdahulu, portal berita Harian Metro melaporkan lelaki dipercayai mabuk nyaris merempuh sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Hutan Kampung dekat Alor Setar.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, suspek yang memandu Proton Saga FLX dipercayai dalam perjalanan dari arah utara menuju ke Pulau Pinang.

Bagaimanapun, kereta yang dipandu suspek dikatakan terbabas sebelum melanggar penghadang di tengah lebuh raya itu.

Hasil ujian dijalankan mendapati paras alkohol dalam badan lelaki itu didapati tinggi dan melebihi had ditetapkan.

Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 4:05pm
d