mutakhir

Nafi akan pecat Idris

Oleh Amir Mamat

KETUA Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali menolak dakwaan kononnya seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) akan dipecat kerana tidak sehaluan dengannya.

Beliau berkata, kenyataan yang tular di media sosial itu dianggap sebagai tidak bertanggungjawab, berniat jahat serta mahu mencetuskan rasa tidak harmoni dalam kalangan kepemimpinan negeri.

Sambil menyatakan dakwaan itu sebagai mengarut dan kehabisan modal pihak tertentu, Sulaiman mahu ia segera dihentikan bagi memastikan perancangan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan sempurna.

"Mengarut. (Mereka) dah kehabisan modal. Cukuplah, jangan asyik berpolitik saja, rakyat sudah muak. (Sebaliknya) tumpu kepada memulihkan ekonomi negeri dan pandemik Covid-19.

"Belajar dari kerajaan terdahulu yang ditolak dan akhirnya tumbang kerana asyik berpolitik. Lebih baik bekerjasama membina dan memacu Melaka ke arah yang lebih baik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Laporan mengenai khabar angin itu berlegar di media sosial seperti Facebook dan WhatsApp kononnya EXCO Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Seri Idris Haron akan dipecat daripada jawatannya kerana tidak bersetuju dengan pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri serta Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohd Ali Mohamad sebagai Ahli Dewan Negara (Senator).

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang ketika ditemui di kediamannya di Klebang Kecil di Melaka, tidak menolak kemungkinan dakwaan itu satu provokasi pihak tertentu, termasuk parti pembangkang.

"Mungkin kerajaan negeri ketika ini stabil dan banyak membela nasib rakyat, sebab itulah mereka (pembangkang) cuba untuk memecahkan sokongan itu supaya kononnya memperlihatkan kepada rakyat bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini berada dalam keadaan tidak menentu.

"Saya yakin rakyat negeri ini tidak akan percaya dengan tohmahan berkenaan dan berharap sokongan terus diberikan kepada kerajaan bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri serta pembelaan nasib rakyat dapat diteruskan," katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 8:42pm
d