mutakhir

Temui ajal akibat serangan jantung

Oleh Zuhainy Zulkiffli

LELAKI yang melakukan aktiviti berbasikal bersama rakannya maut akibat serangan jantung di tepi Jalan Teluk Kumbar, Bayan Lepas, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi, mangsa Danny Khaw, 53, dari Sungai Ara dikatakan sedang melakukan aktiviti itu di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, rakan mangsa berusia 46 tahun mendakwa Danny tiba-tiba terjatuh dari basikal dan tidak sedarkan diri.

Menurutnya, orang ramai yang berada di tempat kejadian bertindak menghubungi pihak polis dan ambulans untuk mendapatkan bantuan.

"Bagaimanapun, Danny yang tidak bekerja disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 8:57pm
d