mutakhir

Padah nak tipu pegawai polis

Oleh Md Fuzi Abd Lateh

HELAH seorang ahli perniagaan wanita berusia 49 tahun cuba memperdaya pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Hulu Selangor mengundang padah apabila dia diberkas, 18 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kejadian berlaku apabila pegawai kanan polis berusia 59 tahun itu menerima panggilan daripada suspek, 12.30 tengah hari di sebuah stesen minyak di Batang Kali.

Katanya, wanita itu mendakwa dari firma guaman di Kuala Lumpur meminta mangsa menjelaskan tunggakan hutang membeli motosikal Suzuki V100 berjumlah RM3,120.

"Mangsa (pegawai kanan polis) dikatakan membeli motosikal berkenaan di sebuah kedai di Batang Kali dan perlu membayar baki tunggakan hutang dengan segera.

"Tidak berpuashati dengan dakwaan itu, mangsa pergi ke kedai itu dengan segera dan bertemu dengan suspek bagi mendapatkan pengesahan sebenar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Arsad berkata, suspek mendakwa mangsa membeli motosikal itu pada 2018 lalu dengan menunjukkan salinan kad pengenalan serta salinan laporan polis mengenai kegagalan dia menyelesaikan baki hutangnya itu.

Katanya, mangsa tidak pernah membeli motosikal yang dinyatakan wanita berkenaan dan semakan mendapati laporan polis itu juga palsu.

"Polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan denda penjara sehingga enam bulan atau bayaran RM2,000 kerana membuat laporan palsu.

"Kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu pagi esok," katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 11:38pm
d