mutakhir

Tiada ahli parlimen GPS belot, kekal sokong Muhyiddin

Oleh Mohd Roji Kawi

DAKWAAN Pakatan Harapan (PH) kini mempunyai sokongan 129 ahli parlimen dibuat berdasarkan senarai lama sebelum wujudnya kerajaan Perikatan Nasional bersama Gabungan Parti Sarawak (PN+GPS).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ketika krisis politik melanda Februari lalu, memang ahli parlimen GPS memberi sokongan kepada Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata, sokongan itu diberikan demi memastikan krisis politik segera berakhir kerana GPS mahukan politik negara kembali stabil.

"Tetapi apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui gerakan untuk meredakan ketegangan politik, GPS menyokong beliau dengan matlamat demi kestabilan politik.

"Sebab itu saya percaya, 129 ahli parlimen yang didakwa menyokong PH itu adalah berdasarkan senarai lama," katanya ditemui selepas meninjau projek kemudahan infrastruktur di Kampung Tabuan Selipar Putus di sini, hari ini.

Wan Junaidi yang juga Ahli Majlis Tertinggi GPS berkata, beliau yakin angka lama itu digunakan oleh blogger tertentu melalui Facebook untuk mendakwa Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan menggantikan PN.

PH mendakwa mempunyai sokongan 129 ahli parlimen dan mereka akan memohon untuk menghadap Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam masa terdekat dengan Anwar kekal sebagai bakal Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, ahli parlimen GPS cukup berdisiplin dan beliau tidak percaya mereka boleh ditarik dengan mudah untuk memberi sokongan kepada pihak tertentu.

"Kami (ahli parlimen GPS) bergabung dalam satu suara di bawah pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg menyokong Tan Sri Muhyiddin dan akan terus bersama dengan beliau (Muhyiddin).

"Walaupun kami tidak sama parti, tetapi dalam kerajaan yang sama untuk memastikan kestabilan politik dan apabila ia berjaya dilakukan, kita dapat menangani Covid-19 dengan berkesan, begitu juga dengan pakej rangsangan ekonomi ketika kita menghadapi pandemik itu," katanya.

Justeru, beliau menganggap dakwaan 129 ahli parlimen termasuk dari GPS menyokong PH itu sebagai 'kerja gila'.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, lebih RM20 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek kemudahan infrastruktur di kawasan itu dan memberi jaminan ia dapat dilaksanakan sepenuhnya apabila Covid-19 diatasi sepenuhnya.

Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 2:24pm
d