mutakhir

Bil air tinggi berpunca penggunaan berganda

Oleh Mohd Amin Jalil

KADAR bil air yang tinggi diterima pengguna di Negeri Sembilan disebabkan peningkatan penggunaan air di premis atau kediaman mereka dengan kadar berganda sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) Norzita Ismail berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna yang tidak berpuas hati dengan kadar bil diterima kerana jauh lebih tinggi berbanding biasa.

"Sebenarnya bil air tinggi ini bukan isu baru bagi SAINS, tetapi memandangkan ia berlaku pada skala besar ketika PKP dan menjadi serius apabila kami membuat bacaan meter di tapak pada 6 Mei lalu sebaik bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Perlu diingatkan bahawa pembacaan meter dihentikan sementara ketika PKP bermula 18 Mac sehingga 5 Mei lalu.

"Akibat daripada pemberhentian kerja pembacaan meter itu, SAINS mengambil kaedah dengan mengeluarkan bil air bagi Mac dan April secara anggaran yang mana jumlah penggunaan bagi bulan itu mengikut purata penggunaan tiga bulan sebelumnya," katanya pada sidang media hari ini.

Norzita berkata, pengeluaran bil awal bagi April bertujuan membolehkan pengguna membuat pembayaran agar tidak terbeban pada bil akan datang.

Menurutnya, pengeluaran bil air pada Mei adalah mengikut apa yang tertera pada meter kediaman masing-masing.

"Justeru, kami berharap pengguna dapat memahami situasi sebenar yang berlaku. Bagaimanapun mereka yang mempunyai kemusykilan mengenai perkara itu boleh menghubungi syarikat itu.

"Mereka juga boleh tampil di kaunter Pusat Khidmat Pelanggan SAINS bagi mendapatkan penerangan atau penjelasan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 2:58pm
d