mutakhir

Kawalan sempadan negara diperketatkan

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

POLIS memperketatkan kawalan di sempadan Kelantan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi mengekang kemasukan warga asing terutama menerusi pengkalan haram di negeri itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, jumlah kekuatan anggota yang bertugas di sempadan juga ditambah bagi memperkuatkan lagi kawalan.

"Hasil pemantauan di sempadan (Kelantan) mendapati setakat ini tiada pergerakan (warga asing) dikesan memandangkan kawalan ketat.

"Sebelum ini (kawalan) memang kita sudah perketat, namun sejak PKP dilaksanakan kita menggandakan lagi usaha bagi mengelak warga asing bolos.

"Pengkalan haram yang dikenal pasti aktif akan diberi tumpuan dan tindakan tegas akan diambil jika kita mendapati terdapat kemasukan warga asing," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan memperhebatkan Op Benteng di semua sempadan negara bagi memastikan warga asing yang lolos keluar untuk berhari raya di negara mereka, tidak akan kembali ke Malaysia.

Katanya, operasi dan pemantauan pihak berkuasa akan dipertingkat dan diperketatkan terutama di lorong tikus bagi mengekang penularan kes import wabak Covid-19.

"Sebagai contoh warga dari Indonesia yang ada permit bekerja di sini pulang berhari raya di negara mereka, bila mereka pulang, kita takkan benarkan mereka kembali lagi ke negara ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hasanuddin berkata, pihaknya menahan seramai 63 individu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) termasuk melakukan jenayah.

Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 3:00pm
d